Friday, 27 November 2015

Apakah Hak-Hak Pengguna

  • Hak untuk mendapat keperluan asas
Pengguna berhak untuk mendapat keperluan asas bagi meneruskan kehidupan yang memuaskan seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan, pendidikan, kemudahan awam, air dan sanitasi.
  • Hak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat
Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan.
  • Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna berhak untuk diberitahu fakta-fakta yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta pelabelan yang tidak jujur atau mengelirukan.
  • Hak untuk membuat pilihan
Pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan.
  • Hak untuk menyuarakan pendapat
Pengguna berhak untuk bersuara bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan, serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan oleh pengeluar.
  • Hak untuk mendapat ganti rugi
Pengguna berhak untuk mendapat penyelesaian yang adil termasuk pampasan bagi pembelian barangan yang mempunyai perihal dagangan yang mengelirukan, kurang bermutu atau perkhidmatan yang tidak memuaskan.
  • Hak untuk mendapat pendidikan pengguna
Pengguna berhak untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak dalam pembelian barangan dan perkhidmatan, serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.
  • Hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak untuk hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih, sihat dan tidak berbahaya kepada generasi masa kini serta generasi akan datang.
Apakah Perkara Yang Perlu Diteliti Oleh Seseorang Pengguna Semasa membeli Sesuatu Barang?
  • Tempat asal barangan/produk, termasuk nama dan alamat pengilang, pengimport, penjual borong, ejen atau pengedar, kumpulan barangan, nombor model/stok dan  tanda perniagaan.
  • Tarikh produk dikilangkan dan tarikh luput
  • Berat minimum, kuantiti, amaun atau muatan barang-barang.
  • Penerangan umum tentang produk termasuk kandungan, kapasiti, panduan penggunaan dan batasannya
  • Penerangan khusus tentang kandungan produk seperti senarai, nisbah dan khasiat bahan-bahan.
  • Kualiti atau keupayaan produk misalnya tanda kelulusan, gred dan sebagainya. (contoh: SIRIM, Suruhanjaya Tenaga).
  • Terma-terma khusus mengenai jualan termasuk harga cadangan, diskaun dan tawaran istimewa.
  • Maklumat khusus seperti amaran, peraturan-peraturan kecemasan untuk golongan pengguna tertentu (contoh: kanak-kanak).
Aduan Pengguna
  • Menerima aduan daripada pengadu melalui telefon, laman web, surat dan datang sendiri ke Pusat Pengurusan Aduan Pengguna (PPAP).
  • Aduan disalurkan kepada agensi-agensi yang terlibat untuk diselesaikan. Dimaklumkan bahawa tidak semua aduan yang diterima di bawah bidang kuasa Kementerian untuk menyelesaikannya.
 Pengguna sering ditipu menerusi:
  • Penipuan Perkhidmatan
  • Penipuan Harga
  • Penipuan Transaksi Internet
  • Jualan Bahan Petroleum
  • Tiada Tanda Harga
  • Bengkel Kenderaan Bermotor
  • Pekhidmatan Telekomunikasi
  • Penipuan Gores Dan Menang
  • Penipuan Perjanjian Sewa Beli
  • Penyelewengan Jualan Lansung

Sumber daripada: http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkkv3/index.php?option=com_content&view=article&id=258&Itemid=259&lang=my

Sebagai pengguna yang sentiasa membeli kita seharusnya mengetahui apakah hak-hak yang ada untuk kita mengetahui sekiranya sesuatu barangan yang dibeli itu ada kerosakan atau sebagainya. Jika kita lihat pelbagai hak yang ada dalam senarai di atas, banyak perkara yang kita perlu mendalami berkenaan dengan hak-hak pengguna. Hak sebagai pengguna ini adalah untuk semua. Tidak terhad, malah semua bertangunggjawab untuk meneliti berkenaan hak pengguna. Jadilah pengguna yang bijak dalam apa jua hal mengikut apa yang digariskan oleh undang-undang.

Monday, 2 November 2015

Hak Berjiran: Janganlah Menyakiti Jiran Tetangga

JIRAN tetangga ialah orang yang tinggal bersebelahan atau berhampiran dengan kediaman kita. Sejak zaman-berzaman, manusia tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan berjiran yang membentuk suatu komuniti. Hidup berjiran merupakan amalan yang mulia serta memberi banyak manfaat kepada manusia.
Islam sebagai sebuah agama yang syumul (menyeluruh) dan lengkap turut menitikberatkan adab-adab terhadap jiran tetangga. Inilah keistimewaan agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW kerana ia bukan sahaja menekankan aspek ketuhanan, bahkan turut merangkumi aspek sesama manusia.
Bagi sesetengah orang, jiran tidak lebih sekadar mereka yang tinggal berhampiran rumah dan tidak ada kaitan dengan hidupnya. Tidak perlu menghormati mereka, apatah lagi mengambil berat dan beradab sesama jiran. Pandangan seperti ini sebenarnya jauh tersasar kerana Allah SWT sendiri memerintahkan umat Islam saling berbuat baik kepada jiran tetangga.
Firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. (an-Nisa’: 36)
Menurut Ali bin Abi Talhah, Mujahid dan Qatadah, maksud jiran tetangga yang dekat dalam surah an-Nisa’ di atas ini ialah orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita. Sedangkan maksud jiran tetangga yang jauh bermaksud mereka yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita.
Hubungan kekeluargaan
Pendapat lain daripada Abu Ishaq mengatakan bahawa jiran tetangga yang dekat tersebut bererti jiran tetangga yang dekat itu ialah orang Islam sedangkan jirang tetangga yang jauh itu ialah orang bukan Islam.
Berdasarkan definisi ini, jelas menunjukkan kewajiban melakukan kebaikan terhadap jiran tetangga, baik mereka ahli keluarga atau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan sekalipun mereka bukan Muslim. Beginilah keindahan yang ditekankan oleh Islam agar manusia saling hidup dengan aman dan sejahtera.
Rasulullah SAW turut mengingatkan kita semua terhadap kepentingan menjaga hubungan kejiranan dan adab-adab terhadap mereka. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa jiran tetangga itu termasuk ahli waris. (riwayat Al-Bukhari no. 6014)
Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW sentiasa dipesan oleh Malaikat Jibril untuk berbuat baik kepada jiran tetangga. Baginda menyangka jiran termasuk ahli waris kerana Malaikat Jibril kerap berpesan supaya berbuat baik terhadap jiran. Seperti yang kita ketahui, orang yang layak mewarisi harta ialah mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pewaris. Bayangkanlah nasihat Malaikat Jibril ini kepada Nabi, sehingga Baginda menyangka jiran itu umpama ahli keluarga kita sendiri.
DALAM sebuah hadis lain, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa mereka yang membuatkan jiran tetangga berasa tidak selesa dengannya sebagai orang yang tidak sempurna imannya.
Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah tidak sempurna imannya. Demi Allah tidak sempurna imannya. Beliau ditanya siapakah ya Rasulullah? Baginda menjawab: Orang yang mana jiran tetangganya tidak merasa aman kerana gangguannya. (riwayat Muslim no. 46)
Sebahagian umat Islam zaman kini mengabaikan hak-hak jiran tetangga sehingga menimbulkan rasa kurang selesa jiran tetangga.
Contohnya tidak menjaga kebersihan sehingga menyebabkan jiran terganggu dengan bau busuk atau terlalu bising di rumah sehingga mengganggu ketenteraman jiran terdekat.
Perkara sebegini wajib dielakkan bukan sekadar menunjukkan tanda keimanan bahkan supaya hubungan silaturrahim dengan jiran dapat dipelihara sebaiknya.
Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jiran tetangganya. (riwayat Al-Bukhari no. 6136)
Menyakiti jiran bukan hanya bermaksud mencederkan tubuh badan mereka sebaliknya ia juga bermaksud menimbulkan rasa tidak selesa, tidak tenteram dan kurang senang dengan sikap kita yang berjiran dengannya. Semoga kita semua sentiasa menjaga adab-adab berjiran yang ditekankan oleh Islam sebaik-baiknya. Wallahu a’lam


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131225/ba_02/Janganlah-menyakiti-jiran-tetangga#ixzz3qMRbtj56 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Ulasan daripada saya sendiri adalah semua masyarakat yang hidup mempunyai hak berjiraan, kerana siapa pun yang berada di sekeliling kita adalah jiran, meski pun hanya jarak yang memisahkan antara rumah ke rumah. Hak berjiran itu perlu menghormati antara satu sama lain, apabila bersama harus saling bantu membantu. Jika jiran tetangga yang lain dalam kedaan yang memerlukan bantuan kita sebagai jiran harus memberikan bantuan. Hak berjiran itu perlu adil dan saksama dari segi persekitaran contoh menjaga kebersihan sekeliling rumah jiran dan rumah sendiri. Jiran adalah saudara yang paling hampir dalam kelompok masyarakat sekarang. Hak berjiran itu jelas jika sama-sama memahami apa yang dimaksudkan dengan Hak Berjiran.